Khamis, 24 Februari 2011

MESIR


KEPULANGAN kumpulan pelajar Malaysia di Mesir baru-baru ini, nyata membawa berita baik buat kru program realiti Imam Muda apabila ramai ambil peluang menyahut cabaran untuk hadir pada sesi temu duga di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, hujung minggu lalu.
Ia sejajar dengan matlamat program itu membuka peluang kepada golongan muda yang mempunyai potensi untuk memikul tanggungjawab bukan saja sebagai imam serba boleh, tetapi juga pemimpin berwibawa.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata, pihaknya amat berbesar hati dan menyambut baik kehadiran kumpulan pelajar Malaysia dari Mesir untuk turut serta dalam program ini. Katanya, selain mampu merancakkan persaingan dalam Imam Muda musim kedua, pihaknya dapat memanfaatkan masa cuti mereka sementara berada di
Malaysia. "Biarpun mereka terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara, kami menjanjikan suatu pengalaman terbaik yang akan dilalui seandainya dipilih sebagai peserta. "Kami berasa teruja dengan sambutan yang ditunjukkan bukan hanya daripada peserta malah seluruh ahli keluarga dan masyarakat setempat. Kami juga terharu dengan sokongan penduduk Kuantan dan jemaah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang datang untuk melihat dengan lebih dekat sesi temu duga Imam Muda.
"Secara tidak langsung, sesi temu duga ini menjadi wadah menuntut ilmu melalui komen diberikan juri terhadap peserta," katanya.

Izelan berkata, kualiti ditunjukkan peserta yang hadir temu duga juga makin meningkat berbanding tahun lalu. Ramai peserta berpotensi dikenal pasti ketika uji bakat di Johor, Kelantan, Kedah dan Pahang. Ini meningkatkan lagi semangat mereka untuk meneruskan pencarian di Kota Kinabalu sebelum lokasi terakhir di Kuala Lumpur. Antara pelajar Mesir yang hadir temu duga Imam Muda musim kedua ialah Muhammad Akmalhakim Tuan Mazri, pelajar jurusan perubatan dari Universiti Ain Shams 21. Katanya, dia mengikuti program Imam Muda sejak musim pertama lagi menerusi laman sosial Facebook. "Apabila terpaksa pulang dan menangguhkan pengajian disebabkan pergolakan yang berlaku di Mesir, saya berasa terpanggil untuk memasuki program Imam Muda sebagai program berilmu yang bagus untuk disertai. Saya mencuba nasib di samping menimba ilmu," katanya.

Siri pencarian Imam Muda musim kedua akan mula bersiaran pada 25 April ini. Sebagai perubahan untuk musim ini, Astro membuka peluang kepada Muslimin dari seluruh dunia untuk datang sesi uji bakat. Calon antarabangsa yang berminat mestilah berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat utama menyertai seterusnya untuk memartabatkan lagi penggunaan bahasa Melayu.
Mereka yang berminat menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai imam, dijemput hadir ke sesi temu duga seterusnya di Wisma Musi, Kota Kinabalu, Sabah hari ini (25 Februari) dan esok, jam 8 pagi hingga 5 petang diikuti di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Mac, pada waktu sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan