Apakah Peranan Guru Yang Sebenarnya ?
Sebagaimana yang kita maklum bahawa pada 16 Mei setiap tahun, kaum guru seluruh negara menyambut perayaan hari guru sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap khidmat dan jasa bakti mereka.
Perayaan hari guru ini disambut dengan penuh kesedaran dan keinsafan bagi mengenang pengorbanan dan keluhuran akal budi para guru.
Masyarakat yang berilmu meletakkan guru atau pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain. Firman Allah taala di dalam Al-Quran :
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت
Maksudnya: “Supaya Allah taala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11)
Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar.
Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:
1- Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.
2- Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.
3- Mursyid : yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.
4- Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.
Sesungguhnya peranan pendidik bukanlah terhad kepada kaum guru sahaja tetapi juga kepada ibubapa, tok guru, tok imam, tok bilal dan siapa sahaja yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka adalah pendidik. Ini bermakna kita semua adalah pendidik.
Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah:
1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulen untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.
2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam.
3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghayati nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran:
يبنى أقم الصلوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ماأصابك إن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya: “Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)
Pada hari ini ada orang menganggap tugas mendidik tiada kaitan dengan peranan dan tanggungjawab kita. Jika tanggapan ini berterusan, kita bimbang penyakit sosial yang melanda remaja Islam hari ini semakin parah.
Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:
كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته
Maksudnya: “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Untuk mengelakkan gejala sosial daripada merebak dan terus melanda masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab ibubapa dan mereka yang bertanggungjawab di kampung atau di bandar khususnya Wakil Rakyat, Pemerintah dan Kerajaan sama-sama mengembeleng tenaga dengan memberi perhatian utama terhadap pendidikan anak-anak dan para remaja. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya kita mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak, dengan mengajar Al-Quran, Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi wasallam, sejarah para Sahabat RA dan para Solehin, hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani.
Antara perkara asas yang mesti diberi perhatian dan penekanan ialah:
1- Mendidik anak dan remaja menunaikan solat secara berterusan. Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا فى المضاجع
Maksudnya: “ Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka mencapai umur 10 tahun serta pisahkan di antara mereka tempat tidur ”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Berkata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah:
علموا أولادكم وأهليكم الخير وأدبوهم
Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan perbaikilah adab sopan mereka ”.
2- Mempamerkan tingkah laku dan tauladan yang baik. Firman Allah taala:
لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah taala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)
Marilah kita sama-sama berusaha menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu dan berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Masyarakat yang ingin kita bina ialah masyarakat yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan tanpa mengira bangsa, budaya dan keturunan.
Bagi mencapai matlamat murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan. Apabila ini telah dilaksanakan bermakna kita telah sama-sama menyokong serta memartabatkan profesyen keguruan, sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan