Khamis, 17 Mac 2011

MENGINSAFI MELALUI BENCANA


DUNIA memang diciptakan bukan untuk kesenangan hakiki. Sebab itulah kita sentiasa bertemu dengan aneka jenis bencana alam atau musibah yang bukan sedikit meranapkan ketenangan hidup. Hebat bagaimana sekalipun kemajuan yang dicapai sesebuah negara atau masyarakat, bencana dan musibah dahsyat sering menghantui dan membelenggu kehidupan manusia.
Sewajarnya setiap apa yang terjadi seperti gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar mahupun tsunami menjadi penyebab kepada kita untuk menjadi semakin pasrah kepada kekuasaan Allah sebagai Tuhan Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.

Sepatutnya juga segala malapetaka selama ini banyak mendidik hati kita agar semakin mendekati Allah dan menanamkan sikap bertakwa yang mendalam. Bencana alam yang datang silih berganti melanda pelosok dunia menginsafkan diri kita bahawa kita mesti menjauhi sifat sombong dan berbangga dengan keupayaan membangunkan ilmu teknologi tinggi. Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya manusia benar-benar melampaui...
batas kerana melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah kamu kembali.” (maksud surah Al-‘Alaq ayat 6-8 ) Memang betul kerana kita selalu lupa akan kekuasaan Allah ketika berada dalam kesenangan, kemewahan, apatah lagi apabila sudah mampu mencipta peralatan canggih berasaskan sains dan teknologi sehingga tergamak menganggap semua alatan itu akan berupaya mencegah sebarang bencana. Ini satu bentuk kesombongan juga. Mencipta sesuatu peralatan teknologi tidak menjadi halangan dan sangat diutamakan sebagai petunjuk bahawa kita manusia berjaya mengaplikasikan akal fikiran mengolah sesuatu usaha ke arah kehidupan yang lebih moden dan sempurna. Namun yang menjadi masalahnya, tidak kurang mendabik dada mampu berbuat yang terbaik. Bumi ini diciptakan Allah sebagai tempat ujian kepada manusia. Lantaran itulah kita akan sentiasa dilingkari pelbagai musibah dan bencana. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar Kami menguji mereka siapakah yang paling baik amal perbuatannya. Dan sesungguhnya Kami akan menjadikan (pula) apa yang ada di atasnya menjadi tanah rata dan tandus.” ( Maksud Surah Al-Kahfi ayat 7-8 ) Satu lagi perkara yang perlu diinsafi, segala kejadian yang berlaku di muka bumi ini semuanya ditetapkan Allah. Kita seharusnya menerima apa saja musibah atau bencana dengan hati penuh reda dan bersabar. Inilah saja pedoman diutarakan kepada kita agar segala kejadian buruk yang menimpa itu tidak terus membelenggu jiwa sehingga kita berputus asa dan berkeluh kesah sepanjang masa. Baca dan renunglah bersungguh-sungguh akan firman Allah ini, insya-Allah hati dan jiwa kita sentiasa tenang untuk berhadapan dengan apa saja musibah yang tertimpa. Firman Allah bermaksud: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. “(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” ( Surah Al-Hadid ayat 22-23 ) Mukmin yang bersikap reda terhadap sebarang musibah adalah petunjuk dia memiliki ketakwaan dan kadar iman yang tinggi. Musibah juga satu mekanisme yang digunakan Allah untuk menilai tahap kepercayaan seseorang terhadap qada dan qadar-Nya. Ini kerana keimanan kepada qada dan qadar akan membuahkan semangat untuk terus hidup dengan lebih dinamik, menimbulkan perasaan tidak mudah berputus asa dan apa yang lebih penting lagi akan menyebabkan seseorang itu tidak berdukacita secara melampaui batas.
Daripada sudut pandang lain, ketahuilah bencana atau musibah itu juga suatu rahmat Allah. Sebenarnya Allah menunjukkan sifat sebenar dunia ini yang tidak akan kekal selama-lamanya. Ini tentulah bertujuan menggalakkan manusia mempersiapkan diri dengan bekalan menuju alam akhirat. Seandainya kita masih tidak insaf dan tidak menjadikan malapetaka dunia itu sebagai satu titik-tolak untuk kita bermuhasabah diri, bertaubat kepada Allah dan sentiasa menjalani kehidupan atas landasan yang dibenarkan agama-Nya, amat malanglah nasib kita! Wahai Mukmin yang diredai Allah. Baca dan ingatlah selalu firman Allah yang bermaksud: “Dan (Kami binasakan) kaum ‘Aad, Tsamud, penduduk Rass dan banyak (lagi) generasi di antara kaum itu.

“Dan Kami jadikan setiapnya itu perumpamaan dan masing-masing benar-benar Kami binasakan dengan sehancur-hancurnya dan sesungguhnya mereka melalui sebuah negeri yang (dulunya) dihujani dengan hujan sejelek-jeleknya. “Maka apakah mereka tidak menyaksikan kesan runtuhan itu bahkan adalah mereka itu tidak mengharapkan akan kebangkitan.” (Surah Al-Furqan ayat 38-40 ).

Juga sepatutnya ayat Allah berikut ini mampu mencelikkan mata hati kita untuk sentiasa bertawakal dan bertakwa kepada Allah setiap masa. Apa kata Allah? Allah berfirman maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di bumi) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar ).’ ( Surah As-Sajdah ayat 21 ) .
Jadi, apa saja bencana seperti gempa bumi atau dilanda ombak tsunami yang mengganas, semuanya dapat dianggap sebagai azab kecil yang Allah timpakan di dunia berbanding azab maha perit di akhirat kelak. Apakah kita tidak mahu insaf dan bertaubat lagi? Atau kita hanya hendak melihat dan memantau saja bencana dunia sehingga diri kita turut mengalaminya baru hendak bertaubat ? Oleh yang demikian, marilah kita jadikan apa saja malapetaka alam sebagai satu anjakan ke arah membetulkan diri dengan sentiasa insaf, bertaubat dan mengamalkan ajaran agama dengan sepenuhnya agar kehidupan kita, keluarga kita serta negara kita dirahmati Allah, insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan